Cukai Pelancongan: Kerajaan Persekutuan bayar balik RM5 kepada kerajaan negeri

Harits Asyraf Hasnan
Mac 12, 2018 15:55 MYT
Sejak 1 September hingga 31 Disember 2017, sebanyak RM39,975,634 cukai pelancongan berjaya dikutip. - Foto fail Bernama
Kerajaan akan meningkatkan bayaran balik cukai pelancongan daripada RM1 kepada RM5 bagi setiap RM10 yang dikutip daripada pelancong asing kepada kerajaan negeri.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pembayaran semula cukai itu akan dibuat secara saksama berdasarkan peratusan cukai pelancongan yang dikutip di setiap negeri.
"Setiap negeri boleh menggunakan peruntukan ini bagi membangunkan sektor pelancongan negeri masing-masing khususnya promosi dan pemasaran destinasi yang lebih agresif, penganjuran acara pelancongan, pembangunan modal insan dan pembangunan projek pelancongan berskala kecil," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya tentang jumlah perolehan kutipan cukai itu sejak ia dilaksanakan pada 1 September lepas semasa sesi soal jawab lisan persidangan itu hari ini.
Mohamed Nazri berkata pembayaran itu akan dibuat setiap tiga bulan sekali secara terus kepada kerajaan negeri.
Katanya, sejak 1 September hingga 31 Disember 2017, sebanyak RM39,975,634 cukai pelancongan berjaya dikutip.
"Kuala Lumpur mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM16,625,258 diikuti Sabah sebanyak RM4,530,628, Pulau Pinang RM3,881,655, Pahang RM3,473,803 dan Johor RM2,716,739," katanya.
Menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-SIK) sama ada kutipan itu menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini, Mohamed Nazri berkata ia tidak berlaku malah kutipan cukai diterima baik oleh para pelancong.
#cukai #cukai pelancongan #Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz #Dewan Rakyat #Kuala Lumpur #kutip #kutipan #Menteri Pelancongan dan Kebudayaan #pelancong #Pelancong asing #pelancongan #rakyat
;