Cukai Minuman Manis: Luas skop cukai, tarik semula subsidi gula - Pusat Galen
Astro Awani
Oktober 5, 2024 09:40 MYT
Oktober 5, 2024 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya mengeluarkan gula daripada diwartakan sebagai barangan harga terkawal berbanding hanya meningkatkan cukai minuman manis bergula (SSB).
Cadangan itu dilontarkan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial yang berpandangan perluasan skop percukaian SSB adalah lebih efektif untuk dilaksanakan menerusi Belanjawan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata susu pekat manis yang digunakan di restoran atau kedai-kedai makan juga perlu disenaraikan dalam skop baharu percukaian itu.
“Pengambilan minuman bergula oleh masyarakat di Malaysia bukan hanya dari segi pengambilan air berkarbonat, minuman dalam tin dan sebagainya.
“Ia sebenarnya minuman yang dipesan atau minuman yang dibancuh.
“Sebagai contoh, apabila kita pergi ke restoran atau kedai makan, kita memesan minuman seperti yang dibancuh seperti teh tarik, milo ais, sirap bandung dan sebagainya.
“Pengambilan gula melalui minuman yang dibancuh sebegini yang cukup menakutkan sebenarnya, dan bukan minuman yang dikeluar dari kilang,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Beliau turut mencadangkan supaya cukai yang dikumpul disalur dan diperuntukkan terus ke Kementeri Kesihatan (KKM) untuk rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk diabetes, penyakit kardiovaskular, buah pinggang, darah tinggi dan kanser.
Menurutnya, rawatan untuk penyakit diabetes dan penyakit kardio renal metabolik lain seperti buah pinggang menelan kos lebih RM3 bilion setahun.
Justeru, penarikan subsidi gula terhadap pengeluar adalah tindakan wajar seiring dengan konsep 'perang terhadap gula'.
“Cuba bayangkan, kita (negara) mendapat hasil daripada cukai SSB sebanyak RM330 juta, tetapi kita terpaksa bayar subsidi kepada pengeluar gula ini sebanyak RM600 juta.
“Jadi, bukan sahaja kita tidak dapat menggunakan hasil cukai itu, malah kita terpaksa mengeluarkan duit lebih banyak untuk memastikan harga gula ini tetap pada harga yang murah seperti yang kita dapat sekarang.
“Untuk memastikan perang terhadap gula seperti mana yang dideklarasi baru-baru ini adalah efektif dan berjaya, kita perlu hapuskan gula sebagai barangan terkawal,” tegasnya.
Subsidi gula sepatutnya dimansuhkan pada Oktober 2013.
Namun, disebabkan harga gula terus dikawal dan bukannya ditentukan pasaran, kerajaan terpaksa memberikan subsidi kepada pengilang gula sejak November 2023.
Subsidi yang dibiayai awam ini berjumlah RM1.00 sekilogram untuk gula mentah dan gula bertapis yang dianggarkan kepada sekitar RM42 juta sebulan dan antara RM500 juta hingga RM600 juta setahun.
Gula pada ketika ini masih disenarai sebagai salah satu barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.