Cukai jalan motosikal mati lebih setahun? Ini yang anda perlu buat...
Afiq Ariffin
Jun 28, 2020 14:20 MYT
Jun 28, 2020 14:20 MYT
PERNAHKAH anda mengalami situasi di mana anda terlupa menghidupkan cukai jalan dan insurans motosikal anda?
Mungkin disebabkan anda jarang menggunakan motosikal tersebut sehingga tidak perasan ia sudah ‘mati’ melebihi tempoh setahun?
Buat pengetahuan anda, sekiranya cukai jalan kenderaan sudah tamat melebihi tempoh setahun, anda tidak boleh sewenang-wenangnya memperbaharuinya seperti biasa.
Ini kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum memperbaharui cukai jalan kenderaan anda.
Yang perlu dilakukan ialah:
1) Hantar kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM)
Pertama sekali, hantar kenderaan anda ke PUSPAKOM bagi tujuan pemeriksaan. Sebab apa? Syarat untuk hidupkan cukai jalan yang melebihi tempoh setahun adalah anda wajib membuat pemeriksaan kenderaan itu di PUSPAKOM.
Bagi memudahkan urusan, anda perlu buat janji temu terlebih dahulu. Sebab apa? Untuk memudahkan urusan anda di PUSPAKOM dan mengelakkan diri anda daripada menunggu lama di cawangan yang anda pergi.
Ada dua cara untuk buat temu janji. Pertama, boleh hubungi cawangan PUSPAKOM berdekatan atau yang kedua, iaitu cara paling mudah.. adalah menerusi laman web PUSPAKOM.
Kenapa laman web paling mudah? Sebab kalau anda aturkan temu janji di laman web, anda boleh terus isi maklumat yang diperlukan pihak PUSPAKOM sebelum pemeriksaan itu dijalankan dan boleh bayar menerusi pembayaran dalam talian.
Jadi, tak perlulah isi perincian kenderaan di PUSPAKOM pada hari pemeriksaan sekali gus menjimatkan banyak masa..
Tapi awas...kalau nak booking dekat PUSPAKOM, kebiasaannya mesti dibuat dua hari sebelum waktu tarikh pemeriksaan sebab bukan anda sahaja yang beratur nak buat pemeriksaan. Ingat ya, dua hari sebelum pemeriksaan.
2) Persiapkan kenderaan anda untuk diperiksa
Selepas anda dah tempah slot yang sesuai, pastikan anda mempersiapkan kenderaan supaya mudah lulus.
Baiki bahagian mana yang rosak atau tidak berfungsi. Sebagai contoh lampu isyarat, lampu brek, cermin sisi, tayar, brek dan lain-lain.
Kalau boleh, dinasihatkan juga mencuci dahulu kenderaan anda supaya memudahkan pegawai PUSPAKOM untuk periksa. Takdalah debu-debu melekat semasa pegawai nak periksa nanti. Hehe!
Kebiasannya, pegawai PUSPAKOM akan periksa nombor badan kenderaan, nombor casis dan lain-lain bahagian kenderaan anda.
3) Dapatkan permit perjalanan sementara di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Menurut undang-undang jalan raya, anda akan dikira melanggar undang-undang sekiranya menunggang atau membawa kenderaan dengan cukai jalan yang mati?
Jadi bagaimana pula nak bawa kenderaan itu ke tempat pemeriksaan?
Mudah saja, dapatkan permit perjalanan sementara di pejabat JPJ berdekatan.
Ia merupakan ‘surat kebenaran’ untuk anda bawa kenderaan ke tempat pemeriksaan.
Kalau nak lagi senang, cetak siap-siap borang tersebut di laman web JPJ dan lengkapkan borang permit tersebut supaya mudah untuk anda dapatkan pengesahan pegawai.
4) Hari Pemeriksaan kenderaan
Pada hari tersebut, pastikan anda membawa dokumen yang diperlukan. Jangan sampai waktu nak buat pemeriksaan ada dokumen yang tertinggal.
Lepas dah daftar dan membuat bayaran pemeriksaan, anda hanya perlu tunggu kerja-kerja pemeriksaan oleh pegawai PUSPAKOM ke atas kenderaan anda.
Jika semua berfungsi, maka mudah untuk anda lulus pemeriksaan PUSPAKOM tersebut.
Tapi kalau tidak lulus, bagaimana? Jangan risau...Apa yang anda perlu lakukan adalah bawa pulang kenderaan anda untuk diperbaiki semula sehingga lulus.
Okey, selepas sahaja lulus, anda akan menerima laporan pemeriksaan akan dikeluarkan pada hari yang sama. Tapi ingat, ia hanya sah untuk tempoh satu bulan sahaja. Jadi, pastikan anda perbaharui cukai jalan kenderaan anda dalam tempoh tersebut.
5) Perbaharui cukai jalan dan beli insurans
Lepas anda dah lulus dan dapat laporan pemeriksaan daripada PUSPAKOM, bolehlah anda teruskan hasrat menghidupkan cukai jalan dengan membeli insurans dan pergi ke pejabat JPJ untuk selesaikan cukai jalan kenderaan.
Ingat, ini tips kalau nak senang, anda beli insurans awal-awal supaya boleh hidupkan semula cukai jalan di pejabat JPJ.
Jadi itulah cara-cara untuk menghidupkan cukai jalan anda sekiranya ia sudah mati lebih setahun.
Senang bukan?