Cukai: Dilema antara beban dan tanggungjawab
Arfa Yunus
November 27, 2013 07:00 MYT
November 27, 2013 07:00 MYT
“GST lebih telus daripada pembayaran cukai jualan dan perkhidmatan”.
Itulah pandangan yang disuarakan oleh pakar ekonomi, Dr Hamzaid Yahya semasa menjadi panel dalam perbincangan AWANI745 pada Rabu yang berkisar mengenai pembayaran cukai oleh rkayat Malaysia.
“Apabila GST dilaksanakan, cukai langsung seperti cukai jualan dan perkhidmatan sebenarnya telha diubah menjadi cukai langsung kerana ia dikenakan kepada mereka yang menggunakannya sahaja.
“Sesiapa yang mengguna atau membeli barang itu, mereka perlu membayar cukai serta merta dan tidak boleh memindahkannya kepada orang lain,” kata Dr Hamzaid.
Namun, pakar ekonomi Dr Barjoyai Bardai berkata, GST masih lagi dianggap sebagai cukai tidak langsung kerana ia dikutip melalui pasar raya.
“Ini kerana, cukai akan dikenakan kepada pengguna terakhir iaitu pembeli. Cuma ada kemungkinan berlaku ‘tax-shifting’ dimana beban cukai boleh dipindahkan kepada pengguna.
“Sebagai contoh, jika penjual pasar malam memberi barangan di pasar raya dan kemudiannya menjual barangan itu di pasar malam, sudah tentu pembeli akan terkena dengan cukai itu,” tambah Dr Barjoyai.
Ujar beliau, GST dianggap lebih cekap kerana ianya menjadikan pengguna lebih susah untuk mengealk daripada membayar cukai berbanding cukai pendapatan.
Sementara itu, dalam sesi temubual yang sama, rakan kongsi utama Firma Salihin, Salihin Abang mengingatkan orang ramai agar tidak mengelak atau melarikan diri daripada membayar cukai.
“Apabila kita tidak membayar cukai, kita tidak dapat menyumbang kepada keperluan sosial, ekonomi serta pembangunan negara. Dan dalam GST, jika sesiapa berniat untuk elak daripada membayar cukai, penalti serta kuasa kepada pihak Kastam lebih tinggi,” ujar beliau.