Cukai arak dan judi untuk sekolah Cina?
Teoh El Sen
Disember 23, 2013 09:25 MYT
Disember 23, 2013 09:25 MYT
Jawatankuasa Pusat MCA yang baru dilantik bakal mempertimbangkan sebuah cadangan untuk menggunakan 20% daripada cukai arak dan judi yang dikutip kerajaan sebagai peruntukan tambahan untuk pembangunan sekolah Cina di negara ini.
"Kami akan mempertimbangkan cadangan itu bersama-sama semua cadangan lain yang dibangkitkan semasa perbahasan tadi. Kami mahu mengemukakan cadangan yang benar-benar boleh dilaksanakan kepada kerajaan," kata presiden baru parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Ahad.
Terdahulu dalam sesi perbahasan, cadangan itu disuarakan oleh perwakilan pusat MCA dari Parit Sulong Tan Sri Lee Kim Yew, yang berkata menerusi cara ini ia dapat menangani isu pembiayaan untuk sekolah-sekolah Cina.
"Masalah terbesar pendidikan Cina adalah peruntukan. Saya menyeru Perhimpunan Agung ini untuk menolak 20 peratus daripada semua cukai yang dipungut daripada hasil arak dan judi untuk digunakan sebagai peruntukan tambahan untuk pendidikan Cina," katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong menyifatkan cadangan Lee itu "masuk akal ".
Bagaimanapun, beliau berkata, ia terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan mengenai sumber dana untuk meningkatkan peruntukan untuk sekolah-sekolah Cina.
"Hujahan yang dibuat adalah kerana hanya orang Cina dan orang bukan Islam yang menyumbang kepada cukai sebegini, ia tidak menjadi kontroversi kerana ia akan pergi ke sekolah-sekolah Cina," katanya.
Tidak kira dimana sumber dana diperolehi, Wee berkata peruntukan untuk sekolah-sekolah Cina sememangnya perlu ditingkatkan.