Cuepacs saran SSM dikaji mengikut situasi ekonomi semasa
Bernama
April 11, 2021 04:55 MYT
April 11, 2021 04:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyaran kerajaan menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai perkhidmatan awam bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan hal ini kerana SSM tidak pernah dikaji atau ditambah baik sejak dilaksanakan bermula November 2002.
"Kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup sekitar tahun 2002 dan kini ia boleh dianggap tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.
Dalam tempoh 19 tahun ini, kita telah berhadapan dengan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak," katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata gaji permulaan di sektor kerajaan buat masa ini adalah sebanyak RM1,200 tanpa mengambil kira lain-lain elaun dan ia masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara yang baru iaitu RM2,208.
Katanya antara perkara yang perlu diberi penekanan dalam SSM baharu ini adalah penetapan kadar gaji minimum RM1,800 sebulan.
"Cuepacs bersedia untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM.
"Suatu tindakan drastik perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM ini agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.
Sementara itu, Adnan berkata Cuepacs berharap kerajaan dapat menambah jawatan Gred 28 dan 40 berdasarkan kelulusan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016.
Cuepacs telah mengadakan Bengkel Semakan Sistem Saraan Baharu dan Pemurnian bertema "Gaji Selesa, Harga Adil" selama tiga hari bermula Jumaat lalu, dengan topik utama yang dibentangkan adalah mengenai keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup serta pendapatan dan perbelanjaan rakyat khususnya penjawat awam.
-- BERNAMA
#CEUPACS
#SSM
#Sistem Saraan Malaysia
#dikaji semula
#dikaji
#semak semula
#keperluan semasa
#ekonomi semasa
#kos sara hidup
#Adnan Mat
#Gred 28
#Gred 40
#menambah jawatan
#perbaharui semula
#gaji minimum