Cuepacs rayu rumah mampu milik untuk penjawat awam dikekalkan

Bernama
Mei 13, 2019 05:00 MYT
Datuk Azih Muda berkata dasar itu perlu disusun semula dan keperluan penjawat awam perlu dipertimbangkan. - Gambar fail/BERNAMA
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu agar pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dikekalkan.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata dasar itu perlu disusun semula dan keperluan penjawat awam perlu dipertimbangkan, kerana golongan itu tidak mampu bersaing dengan pekerja daripada sektor swasta yang gajinya jauh lebih tinggi.
"Kami amat berharap agar kerajaanlah yang menjadi pemutus terakhir untuk membina rumah mampu milik untuk penjawat awam, dengan harga tidak melebihi gaji (kemampuan) mereka.
"Kadar harga rumah mampu milik RM300,000 adalah sangat tinggi dan di luar kemampuan penjawat awam," katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.
BACA: Cuepacs tetap berharap kerajaan beri bonus sebelum Hari Raya
Dilaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada Sabtu lalu mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK) tahun ini, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.
Azih berkata pihaknya berharap kementerian berkenaan akan melibatkan pihak-pihak seperti Cuepacs dalam rundingan berkaitan dengan keperluan untuk penjawat awam, serta memberikan pandangan dan idea.
Katanya Cuepacs akan mengutus surat kepada kementerian itu, bagi mendapatkan pencerahan mengenai perkara itu termasuk kriteria bagi memperolehi rumah mampu milik.
-- BERNAMA
#Azih Muda #cuepacs #Dasar Perumahan Mampu Milik #Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam #penjawat awam #rumah mampu milik
;