Cuepacs rayu khidmat 603 pekerja kontrak perkhidmatan awam disambung

Fauzi Suhaimi
Jun 8, 2020 12:24 MYT
ADNAN: Seramai 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan, manakala 338 orang pula akan tamat dalam tempoh masa terdekat. -Bernama
Kerajaan diseru menyambung semula khidmat 603 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam bagi membela nasib mereka.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata daripada jumlah tersebut, seramai 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan, manakala 338 orang pula akan tamat dalam tempoh masa terdekat.
"Cuepacs menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memaklumkan kebimbangan kontrak mereka tidak akan disambung walaupun menunjukkan mutu kerja yang baik.
"Sehubungan itu, Cuepacs merayu kepada perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini diambil semula bekerja, manakala mereka yang kontraknya akan tamat disambung semula.
"Dalam hal ini, pekerja-pekerja kontrak yang terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka di kementerian atau agensi yang kritikal," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.
Adnan berkata usaha itu dilihat mampu mengurangkan kadar pengangguran selain membolehkan kementerian atau agensi kritikal berfungsi dengan baik.
"Apatah lagi negara ketika ini telah memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi negara.
"Pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang telah berkhidmat lima hingga 10 tahun.
"Sepanjang perkhidmatan, pelbagai peranan dan jasa telah dicurahkan untuk agensi tertentu, jadi tidak salah jika kontrak mereka disambung lagi.
Ujarnya, Cuepacs berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#cuepacs #ekonomi #kerajaan #mangsa #menteri #Muhyiddin Yassin #penjawat awam #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #PKP #presiden #rakyat
;