Cuepacs mohon PM Najib bantu batal notis BPH

Wan Syamsul Amly
Disember 28, 2017 15:29 MYT
AZIH: Cuepacs minta campur tangan PM supaya tuntutan yang dibuat oleh BPH yang mencecah ratusan ribu ringgit dibatalkan. - BERNAMA/Fail
Notis pengosongan kuarters dan penalti bayaran oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) terhadap lebih 500 kakitangan awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya disifatkan sesuatu yang harus dibatalkan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, ia sekali gus menimbulkan tekanan perasaan selain pelbagai persoalan kepada kakitangan awam yang terlibat.
Tegasnya, notis itu juga dikeluarkan selepas lima tahun dan selain liabiliti yang terpaksa ditanggung melebihi ratusan ribu ringgit.
"Kita minta campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tuntutan yang dibuat oleh BPH yang setiap satu ada mencecah ratusan ribu ringgit kepada mereka yang terpaksa bekerja di luar Purtajaya atau Kuala Lumpur untuk membayar penalti dibatalkan.
"Mengapa perlu dianggap Putrajaya dan Kuala Lumpur terpisah, menteri ada satu, jadi mengapa dibezakan?
"Jika ini tidak dibantu, ia menyebabkan kakitangan awam mengalami tekanan oleh perkara ini," katanya semasa sidang media di Bangunan Cuepacs di sini, hari ini.
Terdahulu, Azih mengadakan pertemuan bersama kira-kira 200 kakitangan awam yang menerima Notis Pengosongan dan Penalti Bayaran Pada Kadar Sewa Harga Pasaran oleh BPH.
Rata-rata mereka tidak tahu terpaksa membayar penalti sehingga menerima notis merah selain mahu langkah penyelesaian diputuskan segera.
#Azih Muda #bayaran penalti #cuepacs #Najib Razak
;