Cuepacs mohon pertimbang pemberian subsidi kepada golongan pertengahan

Azyyati Ahmad
November 10, 2014 23:12 MYT
Azih menyeru kerajaan mengkaji mekanisme dalam menguruskan subsidi seperti BR1M dan bahan api kepada golongan pertengahan serta memberi tumpuan penuh kepada ketirisan dan rasuah dalam pembahagian subsidi.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini memohon kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana.
Kata Presidennya, Datuk Azih Muda menegaskan bahawa Cuepacs tidak bersetuju dengan skim rasionalisi subsidi yang diumumkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang terus menerus memberi perhatian hanya kepada golongan berpendapatan rendah.
“Saya mohon kerajaan melihat secara menyeluruh pemberian subsidi yang hanya memberi kebaikan kepada golongan berpendapatan rendah, manakala tekanan terus diberikan kepada mereka yang berpendapatan sederhana iaitu yang bergaji RM5,000 ke atas,” kata Azih yang ditemui selepas sidang media Konvensyen Perpaduan Nasional.
Kata Azih lagi, Cuepacs menerima banyak reaksi daripada golongan pertengahan yang merasakan pemberian subsidi yang diperuntukkan kerajaan adalah tidak adil.
“Mereka merasakan adalah tidak adil jika pemberian subsidi hanya kepada golongan berpendapatan rendah memandangkan purata kenaikan gaji di Malaysia pun sedikit.
"Ditambah pula golongan yang berpendapatan sederhana ini berada di pertengahan - mahu beli yang murah tidak layak, mahu beli yang mahal pula terlalu mahal,” katanya lagi.
Azih turut menyeru kerajaan mengkaji mekanisme dalam menguruskan subsidi seperti BR1M dan bahan api kepada golongan pertengahan.
Selain itu, beliau turut menggesa agar tumpuan penuh diberikan kepada ketirisan dan rasuah dalam pembahagian subsidi.
Ahmad Husni mengumumkan pada Oktober bahawa skim rasionalisasi subsidi bahan api akan dipertimbangkan mengikut tahap pendapatan mulai tahun depan.
Mengikut cadangan, mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan akan terus menikmati subsidi penuh bahan api, manakala yang berpendapatan melebihi RM10,000 tidak layak.
Bagaimanapun, Ahmad Husni berkata mekanisme pelaksanaannya masih dikaji secara terperinci oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
#Azih Muda #cuepacs #skim rasionalisasi subsidi bahan api
;