Cuepacs mohon kerajaan timbang tambah baik skim pembantu tadbir N19

Bernama
April 15, 2023 20:39 MYT
Adnan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pembayaran emolumen dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri yang diawalkan kepada Jumaat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui pertambahan gred daripada lantikan N19 kepada gred baharu.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata penambahbaikan itu wajar dilakukan kerana kira-kira 350,000 pegawai pembantu tadbir di bawah skim itu telah menjalankan tugas yang melangkaui tugasan hakiki berdasarkan skim sedia ada.
"Skim ini dipanggil skim pembantu tadbir yang telah berkhidmat melangkaui tugasan biasa yang mereka ada satu ketika dulu, tetapi oleh kerana kelayakan semasa kemasukan, mereka masih dikekalkan dalam kelayakan masuk SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) maka itulah gajinya, sedangkan tugasan harian telah melangkaui beban skim yang sedia ada.
"Fungsi kita (pembantu tadbir) berubah kerana zaman juga berubah, seluruh dunia berubah, kena ubah bentuk skim ini, kerana dengan cara ini kita ada sedikit kelegaan dalam bentuk kenaikan gred dan kelebihan kenaikan gaji tahunan yang boleh berubah sedikit daripada biasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs di sini semalam bagi membincangkan perkara itu.
Adnan berkata terdapat skim yang setara dengan skim pembantu tadbir yang grednya telah berubah, seperti juruteknik yang sebelum ini di gred maksimum J17 telah bergerak ke J29.
"Pembantu tadbir kewangan sudah berubah nama jawatan kepada pegawai audit dan naik gred kepada W29. Itulah yang kita mahukan kerana yang setara lantikan dengannya telah berubah, maka ini juga kita minta daripada kerajaan, dengan cara ini supaya mereka ada sedikit kelebihan dengan kenaikan gaji," katanya.
Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap penjawat awam dengan memberikan pembayaran emolumen dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri yang diawalkan kepada Jumaat.
"Ini adalah satu bantuan untuk berbelanja bagi tujuan memenuhi kehendak keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri... bagaimanapun, kita hendaklah bijak berbelanja agar tidak menjadi masalah di hari kemudian," katanya.
Pada 10 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Penjawat Awam Persekutuan akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 dan bayaran gaji pada 14 April, iaitu awal tiga hari berbanding 17 April seperti dijadualkan sebelum ini.
-- BERNAMA
#skim pembantu tadbir N19 #Adnan Mat #cuepacs #skim perkhidmatan