Cuepacs mohon kerajaan naikkan imbuhan penjawat awam sekurang-kurangnya RM100
Bernama
Ogos 1, 2023 19:06 MYT
Ogos 1, 2023 19:06 MYT
KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan supaya menaikkan imbuhan tetap kakitangan kerajaan sekurang-kurangnya RM100.
Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Julai lepas dan membentangkan perkara mengenai kebajikan penjawat awam.
"Kita harap kenaikan imbuhan tetap yang akan diumumkan oleh kerajaan tidak kurang RM100. Kadar ini hampir sama dengan kenaikan gaji tahunan khas sebanyak RM100 yang dilaksanakan pada Januari lalu.
"Kita lihat ia satu kenaikan yang munasabah kerana imbuhan tetap ini sudah lama tidak dikaji oleh kerajaan iaitu dalam tempoh 10 tahun yang lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Malaysia Madani Dalam Perkhidmatan Awam Zon Timur 2023 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan pelarasan imbuhan tetap untuk penjawat awam pada Ogos ini.
Adnan juga berkata penjawat awam adalah tunjang kepada kerajaan, dan kerajaan adalah majikan, justeru mereka berharap pertemuan dengan Anwar dapat dimuktamad dalam masa terdekat.
"Sepatutnya perjumpaan penjawat awam dengan Perdana Menteri dijadualkan pada 8 Ogos ini namun diawalkan pada 7 Ogos.
"Cuepacs berharap permohonan ini ditunaikan agar imbuhan tetap itu diberikan dalam kadar segera sebelum suatu sistem saraan dimuktamadkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata sistem saraan itu mungkin agak terlewat atau telah terlewat kerana yang diguna pakai ketika ini sudah dilaksanakan sejak 2002, iaitu 21 tahun lepas.
-- BERNAMA