Cuepacs mahu Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf isu kenyataan 'DG takut mati

Bernama
November 12, 2020 16:45 MYT
Kenyataan mempersoalkan Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 dibuat Tiong disifatkan sangat keterlaluan. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf susulan kenyataan "DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati" yang dibuat pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 semalam.
Presiden Cuepacs Adnan Mat menyifatkan kenyataan mempersoalkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 dibuat Tiong sangat keterlaluan dan dilihat merendahkan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menyekat penularan COVID-19.
"Apatah lagi perbuatan merendah-rendahkan penjawat awam itu dilakukan di dalam Dewan Rakyat yang mulia.
"Kenyataan Yang Berhormat (YB) Bintulu adalah tidak wajar kerana tidak menyelidiki terlebih dahulu maklumat sebenar sebelum mengeluarkan komen yang agak keras kepada penjawat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata Tiong sepatutnya menggunakan saluran yang betul iaitu berjumpa sendiri dengan ketua pengarah atau menteri berkaitan untuk mengemukakan pendapat peribadi atau aduan diterimanya dan bukannya membuat serangan terbuka di Dewan Rakyat.
"Walaupun niat YB Bintulu adalah untuk menyuarakan masalah petugas barisan hadapan dan rakyat yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan, Cuepacs berharap ia dibuat mengikut saluran yang betul kerana tidak adil untuk Ketua Pengarah Kesihatan diserang melalui platform yang beliau tidak boleh memberi penjelasan.
"Justeru itu, YB Bintulu wajar membuat permohonan maaf sebagai menghormati peranan semua petugas barisan hadapan dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sepanjang usaha menyekat penularan COVID-19," katanya berharap kejadian seumpama itu tidak berulang terutama melibatkan pemimpin politik kerana dibimbangi menjadi ikutan masyarakat.
BACA: Gara-gara kenyataan 'KP Kesihatan takut mati', Dewan Rakyat jadi medan bertikam lidah
BACA: COVID-19: Tidak timbul isu takut mati, KP Kesihatan jawab tuduhan
Beliau juga mengingatkan bahawa kakitangan kerajaan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan am perkhidmatan awam dan perlu melaksanakan sesuatu dasar atau arahan dengan teliti, dan telah diberi latihan yang mencukupi untuk berhadapan dengan sebarang keadaan serta memiliki tahap profesionalisme yang tinggi.
Mengulas lanjut, Adnan berpandangan tiada keperluan untuk Noor Hisham untuk selalu turun padang memandangkan saluran komunikasi dengan petugas di lapangan sentiasa berjalan dengan baik mengikut prosedur yang jelas.
"Oleh itu, walaupun Ketua Pengarah Kesihatan (Noor Hisham) tidak selalu turun di lapangan, beliau tetap bertanggungjawab memastikan perancangan dan keputusan yang dibuat di Putrajaya sampai ke peringkat negeri dan hospital-hospital dengan pantas," katanya.
Semalam media melaporkan suasana persidangan Dewan Rakyat kecoh susulan kenyataan Tiong yang mempersoalkan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung televisyen, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.
Kenyataan kontroversi bernada emosi itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit dan meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mempengerusikan sidang untuk tidak membenarkan Tiong "menghentam" Ketua Pengarah Kesihatan dan mahu kenyataan itu ditarik balik.
#DG takut mati #Ketua Pengarah Kesihatan #Dr Noor Hisham Abdullah #Ahli Parlimen Bintulu #Tiong King Sing #Dewan Rakyat #cuepacs #Adnan Mat #mohon maaf
;