CUEPACS: Jangan ikut gaji, ikut harga rumah
Astro Awani
November 9, 2013 20:30 MYT
November 9, 2013 20:30 MYT
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam, CUEPACS, mencadangkan penjawat awam ditawarkan pinjaman perumahan mengikut harga rumah dan bukan berdasarkan gaji seperti yang dipraktikan sekarang.
Presidennya, Datuk Omar Osman menjelaskan, cadangan itu perlu dilaksana memandangkan harga pasaran rumah semakin meningkat.
Menurut Omar, selain kos sara hidup yang semakin membebankan penjawat awam yang membuat pinjaman perumahan juga menanggung kadar faedah pinjaman perumahan dan bayaran insuran bulanan yang tinggi.
Beliau memberi contoh penjawat awam berpendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan layak membeli rumah berharga RM120,000.
Selain itu tindakan institusi perbankan mengenakan syarat baru dengan mengenakan tempoh pembayaran yang dipendekkan kepada sepuluh tahun berbanding dua puluh lima tahun sebelum ini turut membebankan pembeli rumah.
Jelasnya masalah itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah dengan menaikkan gaji keseluruhan kakitangan awam.