Cuepacs gesa sesi perbincangan diadakan selesai isu elaun COVID-19
Bernama
Mei 9, 2020 04:37 MYT
Mei 9, 2020 04:37 MYT
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar satu sesi perbincangan dapat diadakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), wakil kesatuan dan pekerja berhubung isu tuntutan elaun COVID-19 melibatkan anggota kesihatan.
Presidennya Adnan Mat menerusi kenyataannya menegaskan perbincangan dua hala antara majikan dan pekerja dapat menyelesaikan isu ini secara keseluruhan.
"Pandangan dan suara daripada pihak kesatuan atau wakil pekerja perlu diambil kira bagi memastikan hak dan kebajikan petugas barisan hadapan terbela sepenuhnya.
"Justeru itu Cuepacs berharap agar KKM meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya bagi memudahkan kaedah pembayaran elaun COVID-19.
"Penambahbaikan yang dibuat haruslah bertujuan untuk memudahkan urusan kerja petugas barisan hadapan dan tidak menidakkan hak yang sepatutnya mereka terima," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada Sabtu yang menyiarkan luahan barisan petugas hadapan KKM yang mendakwa berdepan kerenah birokrasi berhubung elaun COVID-19.
Adnan berkata agensi dan jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu turut sama dalam meneliti perkara ini dan memudahkan urusan pembayaran elaun khas yang diterima untuk petugas barisan hadapan mereka.
"Elaun yang diberikan oleh kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Janganlah kita lunturkan semangat dengan kerenah-kerenah birokrasi yang dicipta sendiri," katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lepas mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung COVID-19.
Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.
Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir.
-- BERNAMA
#Adnan Mat
#anggota kesihatan
#birokrasi
#COVID-19
#cuepacs
#ekonomi
#elaun
#Imigresen
#kastam
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#kesatuan
#kesihatan
#majikan
#Malaysia
#Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin
#Pekerja
#petugas barisan hadapan
#polis
#tentera