CUEPACS gesa kerajaan semak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM)
Astro Awani
April 11, 2021 14:51 MYT
April 11, 2021 14:51 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan dicadang menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah diguna pakai oleh perkhidmatan awam selama ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata, langkah itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
Ujarnya, SSM telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam bermula November 2002 dan sejak itu ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik.
"Selepas 19 tahun SSM dilaksanakan, CUEPACS berpendapat sudah tiba masanya bagi kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
"Kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup sekitar tahun 2002 dan kini ia boleh dianggap tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, CUEPACS bersedia untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM.
"Suatu tindakan drastik perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM ini agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan," tambahnya.