CUEPACS gesa kerajaan bina lebih banyak rumah mampu milik penjawat awam

Bernama
November 27, 2024 17:30 MYT
Datuk Adnan Mat berkata ini bagi membantu golongan berkenaan terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan membina lebih banyak perumahan mampu milik untuk penjawat awam berharga di bawah RM250,000.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ini bagi membantu golongan berkenaan terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman.
"CUEPACS yakin faktor utama 52.95 peratus daripada 1.3 juta penjawat awam masih belum memiliki rumah sendiri disebabkan harga yang mahal. Kebanyakan penjawat awam perlu menyewa dengan kadar sekitar RM800 hingga RM1,200 sebulan terutama di bandar besar.
"Sekiranya rumah yang dijual oleh pemaju melebihi daripada RM250,000 sudah tentu faktor ketidakmampuan untuk membayar pembiayaan akan menjadi penghalang utama untuk penjawat awam memiliki rumah sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata menerusi laporan yang dikeluarkan Pusat Informasi Hartanah Negara (NAPIC), harga rumah di Malaysia dilaporkan meningkat hampir 100 peratus dari 2010 hingga 2020.
Adnan berkata selain harga kediaman yang ditawarkan di pasaran ketika ini terlalu tinggi berbanding pendapatan diterima, peningkatan kos sara hidup yang lain hingga mengakibatkan pendapatan boleh guna semakin mengecil turut menyumbang kepada ketidakmampuan penjawat awam.
Beliau berkata syarat permohonan pemilikan rumah mampu milik untuk penjawat awam juga wajar dipermudahkan selain kerajaan perlu mengkaji semula kadar faedah pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sebanyak empat peratus yang dilihat masih tinggi.
"CUEPACS berpendapat penurunan kadar faedah yang dikenakan LPPSA sedikit sebanyak boleh membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#cuepacs #Adnan Mat #rumah mampu milik #penjawat awam
;