Presidennya, Datuk Azih Muda mendesak agar keputusan seperti ini tidak dilakukan secara serta-merta kerana memberi kesan kepada moral dan kebajikan pekerja.
"Pengumuman itu dibuat secara serta-merta tanpa notis dan tiada pemakluman awal kepada pekerja yang sedang berkhidmat.
"Sekarang ini, arahan penutupan serta-merta hanya diketahui menerusi laporan media dan pekerja bingung dengan status mereka," katanya dalam sidang media di Wisma Cuepacs pada Rabu.
Jelasnya, kira-kira 232 pekerja pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara di mana 39 daripadanya merupakan pekerja kontrak terjejas dengan pengumuman oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz pada 23 Januari lalu.
"Kita kecewa kerana tiada pemberitahuan oleh kepimpinan Tourism Malaysia berkenaan keputusan ini.
"Takkanlah sebab nak jimat RM6 juta, tak fikirkan kebajikan pekerja.
"Justeru itu saya merayu kepada Perdana Menteri untuk beri ruang kepada pekerja-pekerja ini gambaran yang jelas tentang penempatan baharu mereka nanti," tambahnya.
Cuepacs pada masa sama turut menuntut agar kajian terperinci diadakan berkaitan keputusan penutupan pejabat negeri memandangkan Tourism Malaysia memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menggalakkan produk pelancongan Malaysia.