Cuepacs cadang gaji diawalkan 14 April
Bernama
April 9, 2023 17:48 MYT
April 9, 2023 17:48 MYT
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji kepada penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini.
Presidennya Datuk Adnan Mat berkata ia bagi membolehkan penjawat awam membeli barangan untuk persediaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 22 April ini.
"Cuepacs yakin bahawa kerajaan mampu melaksanakan perkara tersebut kerana ia tidak melibatkan proses yang sukar selain dapat memberi kemudahan kepada kakitangan kerajaan sendiri.
"Cuepacs juga menyeru agar majikan di peringkat swasta turut berbuat demikian sebagai salah satu usaha menjaga kebajikan warga pekerja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Cuepacs juga berharap pembayaran gaji awal itu turut melibatkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM700 yang dijadualkan dibayar pada tarikh penerimaan gaji iaitu 17 April ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata akan mempertimbang supaya pembayaran gaji penjawat awam pada bulan April dapat diawalkan, sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri.
Adnan berkata Cuepacs menghargai keprihatinan Perdana Menteri terhadap perkara itu kerana inisiatif bayaran gaji awal dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam.
"Khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung, mereka boleh membuat pembelian lebih awal berbanding saat-saat akhir pada minggu terakhir Ramadan," katanya.
-- BERNAMA