Cuepacs bantah tindakan terhadap kakitangan hospital gagal patuh SOP COVID-19
Bernama
Disember 21, 2020 16:27 MYT
Disember 21, 2020 16:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah cadangan supaya tindakan disiplin diambil terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah jangkitan COVID-19.
Presidennya Adnan Mat berkata mereka yang berkenaan perlu melihat punca penularan wabak itu di hospital dalam konteks yang lebih luas dan tidak terus membuat sebarang kenyataan berbentuk hukuman kepada pihak lain tanpa mengetahui situasi sebenar.
"CUEPACS bersetuju sekiranya isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas KKM (Kementerian Kesihatan) ditekankan untuk memastikan jangkitan COVID-19 di fasiliti kesihatan dapat dielakkan.
"Bagaimanapun, cadangan untuk mengenakan tindakan disiplin adalah tidak wajar memandangkan petugas kesihatan ini sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik sejak penularan wabak dikesan di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan merujuk kenyataan seorang pakar kesihatan daripada sebuah universiti tempatan yang dilapor mencadangkan agar KKM menguatkuasakan tindakan disiplin terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi SOP bagi mencegah jangkitan COVID-19 di kawasan hospital.
Pakar kesihatan awam itu mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat lepas bahawa pihaknya merekodkan 1,771 kes COVID-19 dalam kalangan warga KKM.
Mengulas lanjut, Adnan berkata ada dalam kalangan petugas terbabit dijangkiti COVID-19 menerusi kontak dengan orang awam yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Justeru, CUEPACS berharap semua pihak tidak saling menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada organisasi tertentu, sebaliknya bersama-sama berusaha membendung penularan COVID-19 serta tidak alpa dalam pematuhan SOP walaupun diberi kelonggaran, katanya.
-- BERNAMA