Cucu tampar nenek, letak cekodok panas atas tangan dipenjara 12 bulan

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 27, 2022 19:28 MYT
Nazri Zol, 34, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh. - Gambar/ Astro AWANI
AYER KEROH: Tindakan seorang lelaki menampar dan meletakkan cekodok panas pada tangan neneknya, membawa padah apabila dijatuhi hukuman 12 bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Nazri Zol, 34, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap neneknya Halimah Hassan, 83, di sebuah rumah di Jalan SB 1, Taman Sutera Belia, Batu Berendam, Melaka Tengah kira-kira pukul 9.20 pagi 21 Oktober lalu.
Tertuduh yang tidak bekerja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326a Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran antara tertuduh yang juga anak sulung dengan ibunya, selepas tertuduh menolak neneknya itu.
Tertuduh kemudian turut menampar belakang badan dan muka neneknya serta mengambil kuih cekodok panas dan diletakkan pada tangan kanan warga emas itu.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan seorang cucu terhadap neneknya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober lalu.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
#cucu tampar nenek #cekodok panas #Melaka #mahkamah
;