Cucu tak ambil SPM mahu jaga datuk dan nenek
Bernama
Februari 25, 2016 16:49 MYT
Februari 25, 2016 16:49 MYT
Seorang cucu yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana mahu menjaga datuk dan nenek angkatnya.
Nor Alia Mohd Lutfi, 17, yang tinggal dengan datuknya Othman Yahya, 85, dan neneknya Wan Hasnah Abdul Rahman, 57, sejak lahir berkata kedua-duanya memerlukan orang untuk menjaga mereka yang sudah tua dan turut menghidap pelbagai penyakit.
Wan Hasnah terlantar sejak November tahun lalu akibat menghidap kencing manis dan sakit buah pinggang manakala Othman kerana sakit tua.
"Saya kasihan melihat keadaan mereka yang memerlukan seseorang untuk menjaga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dia berkata neneknya perlu berulang-alik 12 kali dalam sebulan ke sebuah pusat dialisis dan terpaksa mengupah orang untuk mengangkat dan menghantarnya membuat rawatan.
Anggota Parlimen Baling, Datuk Azeez Abd Rahim yang melawat pasangan itu berjanji untuk memberi sumbangan RM700 sebulan.
Beliau juga berkata beliau akan memastikan Nor Alia dapat bersekolah semula.
Pihak yang ingin menyalur bantuan boleh menghubungi Nor Alia melalui talian 013-5384375 atau akaun Bank Simpanan Nasional milik Othman 02126-29-83139253-0.