Cucu Rajah Brooke 'jatuh cinta' dengan Sarawak
Astro Awani
Ogos 3, 2019 18:55 MYT
Ogos 3, 2019 18:55 MYT
Sebelum ini, hanya tahu tentang Sarawak daripada penceritaan neneknya, Sylvia Brooke iaitu isteri kepada Rajah Putih Sarawak terakhir Charles Brooke.
Bukan setakat itu, penceritaan itu turut didokong dengan lukisan-lukisan mengenai negeri Bumi Kenyalang ini.
Namun semua itu jadi kenyataan buat cucu Sylvia, Lady Roberta Simpson apabila menjejakkan kaki ke Sarawak baru-baru ini.
Buat kali pertama wanita berusia 82 tahun ini datang ke negeri Bumi Kenyalang bersama anak perempuan dan suaminya Sir Skyffin Simpson.
Menceritakan lebih lanjut, Roberta kata, kedatangannya ke Sarawak bermula apabila diajak saudaranya, Jason Brooke yang juga cucu kepada Rajah Muda Anthony Brooke.
Roberta yang merupakan cucu daripada anak perempuan kedua Charles Brooke iaitu Elizabeth memang sudah lama simpan hasrat mahu melawat sarawak.
Sepanjang tiga hari dengan jadual yang padat, Roberta imbau kembali memori menerusi penceritaan dan lukisan oleh neneknya.
Antara tempat yang dilawat termasuk Taman Negara Bako, Kubu Margarita, melihat buaya dan ke Pantai Santubong yang menghidupkan memorinya.
"Kami pergi merentasi jambatan dengan sungai dan tembok yang cantik. Ia antara lukisan yang nenek saya lukis dan saya ada menyimpannya," katanya.
Bagi Roberta cerita yang paling menarik adalah mengenai rakyat berbilang kaum dan etnik hidup bersama di Sarawak.
Selain itu dapat disaksikan dari lukisan ialah tentang wanita Sarawak dengan barangan perhiasan dan pahlawan Dayak.
"Saya datang ke sini dan bertemu orang ramai (orang Sarawak) adalah satu yang sangat berharga dalam hidup saya. Sekarang saya faham kenapa nenek saya banyak bercerita tentang sarawak kerana beliau sangat cintakan masyarakat Sarawak," katanya.
Roberta ditemui media di Mahkamah Lama Kuching sebelum berangkat ke Sibu dan pulang semula ke Barbados.
#Bumi Kenyalang
#Charles Brooke
#Cucu Rajah Brooke
#Lady Roberta Simpson
#Rajah Putih Sarawak
#Sarawak
#Skyffin Simpson
#Sylvia Brooke