Cucu Muhyiddin pun sedih kertas UPSR bocor

Astro Awani
September 14, 2014 17:30 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan mengenakan hukuman sewajarnya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi pengalaman mengenai cucu sulungnya yang turut kecewa kerana perlu menduduki semula kertas Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) yang didapati bocor.
Muhyiddin berkata demikian dalam satu laporan yang dikeluarkan Berita Harian pada Ahad.
Kata Muhyiddin cucunya, Suraya Fahri Yassin telah membuat persediaan rapi menghadapi UPSR menangis kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.
“Dia menangis, tanya Tok Ayah (Muhyiddin) kenapa jadi begini, jadi Tok Ayahnya kena tenteramkan. Semalam saya tanya khabar dia (Suraya) dan dia kata dalam keadaan baik” beritahu Muhyiddin yang ditemui di sidang media selepas penamaan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor, di Tumpat.
Tambah beliau lagi, kejadian tersebut membuat beliau memahami perasaan ibubapa, keluarga dan pelajar.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berjanji akan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan mengenakan hukuman sewajarnya.
#Suraya Fahri Yassin #Tan Sri Muhyiddin Yassin #Timbalan Perdana Menteri #Ujian Penilaian Sekolah Rendah #UPSR
;