Cucu dituduh pukul nenek hingga mati
Astro Awani
Ogos 1, 2016 17:52 MYT
Ogos 1, 2016 17:52 MYT
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas tuduhan membunuh neneknya yang berusia 87 tahun.
Tertuduh, Mohd Aznan Abdul, 29, didakwa membunuh Aton Hamid antara pukul 10 sehingga 11 pagi, di kilometer 10, Jalan Seri, Gunung Keriang, di sini, pada 16 Julai lalu.
Mohd Aznan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan 20 September sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang nenek mati ditetak cucunya sendiri di Jalan Hujung Pakar, Alor Setar.
Mangsa kemudian ditemui anaknya dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah dengan berlumuran darah akibat kesan luka di hidung dan telinga.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia tiga hari selepas itu.