Cucu bekas Menteri Besar Terengganu berbasikal jadi penghantar makanan

Bernama
April 19, 2021 17:51 MYT
Kegigihan Wan Nabihah Hannah yang sanggup keluar dari zon selesa demi mencari rezeki dengan kudratnya sendiri mendapat pujian banyak pihak. - Gambar/ Sinar Harian
CHUKAI: Kelibat seorang remaja perempuan yang berbasikal ketika menghantar makanan ditempah pelanggan sejak dua bulan lepas sering mencuri perhatian penduduk sekitar di sini.
Kegigihan Wan Nabihah Hannah Wan Abdul Hakim, 19, yang sanggup berpanas dan berhujan dengan berbasikal dalam memastikan pesanan pelanggan dihantar tepat pada masanya, amat dikagumi pelanggan kerana tidak ramai remaja perempuan mahu melakukan kerja sebagai penghantar makanan.
Menariknya, identiti sebenar Wan Nabihah Hannah akhirnya terbongkar baru-baru ini dan ramai tidak menyangka beliau adalah cucu kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, selepas bapanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih iaitu Wan Abdul Hakim memuat naik satu hantaran di Facebook mengenai usaha anak perempuannya itu.
Ketika dihubungi Bernama, Wan Nabihah mengakui tujuannya bekerja sebagai penghantar makanan adalah untuk mencari duit poket dan memperoleh pengalaman baharu sepanjang cuti semester ketika ini.
"Saya pilih menjadi penghantar makanan Foodpanda kerana tertarik dengan masa bekerja yang fleksibel. Oleh kerana masih tiada lesen motosikal, saya gunakan basikal sahaja untuk memudahkan pergerakan.
"Alhamdulillah pendapatan dalam tempoh seminggu kerja saya lakukan boleh dapat lebih RM500. Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki halal asalkan tidak terlalu memilih pekerjaan," katanya yang ketika ini sedang mengikuti pengajian di peringkat Asasi Perniagaan di Taylor's College di kampus Lakeside, Subang Jaya Selangor.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata beliau sentiasa memakai krim pelindung matahari serta cermin mata hitam untuk melindungi kulit wajahnya ketika berbasikal memandangkan banyak tempahan makanan yang dilakukan antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
"Kalau hujan renyai pula, saya redah sahaja dengan memakai jaket dan memperlahankan kayuhan kerana jalan agak licin. Tapi, kalau hujan terlalu lebat terpaksa berhenti sekejap cari tempat berteduh yang sesuai," katanya.
Ditanya mengenai reaksi ibu bapanya memandangkan latar belakang keluarga mereka sebagai ahli politik dan arwah datuknya adalah bekas menteri besar Terengganu, Wan Nabihah Hannah berkata ia bukan halangan malah keluarganya memberi sokongan agar beliau belajar berdikari serta merasai kesusahan dalam mengharungi cabaran hidup.
"Perasaan malu sebab pandangan orang lain mesti letak ke tepi dan paling penting kita mesti percaya dengan kemampuan diri sendiri. Percaya juga yang apa kita buat sekarang ini mungkin akan jadi inspirasi kepada orang lain untuk berubah ke arah yang lebih baik.
"Sebagai remaja, mempunyai duit poket hasil titik peluh sendiri juga adalah satu kepuasan sebenarnya. Saya sendiri menggunakan sebahagian wang itu untuk dilaburkan semula demi perancangan kewangan masa depan," katanya yang berehat seketika dari menghantar makanan sepanjang Ramadan ini.
Sementara itu, kiriman di laman Facebook Wan Abdul Hakim mengenai anaknya itu mendapat banyak komen positif yang memuji semangat dan kegigihan Wan Nabihah Hannah kerana sanggup keluar dari zon selesa demi mencari rezeki dengan kudratnya sendiri.
Ramai tidak menyangka remaja yang pernah menghantar makanan mereka sebelum ini, adalah anak dan cucu kepada tokoh politik yang dihormati kerana banyak jasa dilakukan untuk rakyat selama ini.
Pelayar Facebook juga berharap usaha Wan Nabihah Hannah itu akan menjadi tauladan yang baik kepada remaja lain dan pada masa sama memuji corak didikan yang diterapkan Wan Abdul Hakim ke arah melahirkan generasi muda yang berkualiti dan rajin berusaha tanpa jalan singkat.
-- BERNAMA
#cucu #Bekas Menteri Besar Terengganu #penghantar makanan #FoodPanda #berbasikal #Wan Nabihah Hannah Wan Abdul Hakim
;