CUCKOO hasil karya patriotik sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

Ehsan A Marisah
September 2, 2021 11:00 MYT
Masa Depan Kita, JUANG #SAMASAMA. - Foto CUCKOO
KUALA LUMPUR: Peneraju produk kelengkapan rumah dan pencipta rumah sihat (Healthy Home Creator), CUCKOO International (MAL) Sdn Bhd (CUCKOO) menyemarakkan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini menerusi karya kreatif ‘Masa Depan Kita, Juang #SAMASAMA’.
Ketua Pegawai Pelanggannya, Toh Seng Lee berkata, karya yang dihasilkan dalam bentuk video itu merupakan simbolik patriotisme pihaknya dan sebagai usaha menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.
“Kebiasaannya, kita hanya akan meraikan kejayaan sebagai sebuah negara, tetapi kali ini sedikit berlainan apabila CUCKOO ingin mengajak semua orang untuk melihat masa depan dengan penuh optimistik.
“Selain itu, kami ingin menyebarkan mesej positif, meskipun negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu, dan yakin semangat (rakyat) Malaysia yang tidak mudah berputus asa dapat bersama-sama berjuang untuk mengatasinya,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Presiden Divisyen Jualan CUCKOO, Hazman Zakaria berkata, 12 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat telah dipilih dalam pembikinan video tersebut.
Antara individu terlibat ialah wira badminton negara, yang juga pemenang pingat gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pemenang pingat perak beregu campuran di Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon dan duta CUCKOO, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ujarnya lagi, syarikat itu juga berharap karya tersebut mampu mengajak orang ramai untuk bersatu mendepani pelbagai cabaran dan terus ke hadapan membina sebuah negara.
“Dengan video ini, kita berharap dapat mengajak semua untuk kekal tabah dan positif mengenai masa depan negara yang tercinta walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai sentimen ketika ini akibat COVID-19.
“Kita juga ingin berkongsi harapan dan mengingatkan kesemua masyarakat akan semangat kita sebagai rakyat Malaysia yang pernah mengharungi pelbagai cabaran bersama.
"Kami yakin bahawa dengan semangat juang, kita dapat sama-sama mengatasi cabaran yang akan datang, termasuk menang terhadap COVID-19,” katanya.
Video ‘Masa Depan Kita, Juang #SAMASAMA’ adalah hasil kerjasama menerusi filem 'Juang', iaitu sebuah projek sinematik pertama negara yang dikendalikan sebilangan pengarah dan bakat besar.
Ia berkongsi kisah kejayaan Malaysia menentang COVID-19 serta menghargai para petugas barisan hadapan.
CUCKOO Patriotik | Hasil karya 'Masa Depan Kita, Juang #SAMASAMA'
#Cuckoo #Hari Kebangsaan #Hari Malaysia #karya patriotik
;