Cuci kenderaan, pasar pagi, pasar tani dibenar beroperasi di negeri Fasa 2 PPN
Bernama
Julai 6, 2021 16:44 MYT
Julai 6, 2021 16:44 MYT
PUTRAJAYA: Perkhidmatan cuci kenderaan, pasar pagi dan pasar tani dibenarkan beroperasi di negeri yang berada dalam Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata perkhidmatan berkenaan tidak perlu mendapatkan kebenaran beroperasi melalui sistem CIMS yang diselenggara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebaliknya memadai dengan menunjukkan lesen perniagaan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Jika lokasi perniagaan melibatkan pergerakan rentas daerah atau negeri, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan lesen perniagaan atau permit penjaja oleh PBT berkaitan," menurut KPKT dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang telah beralih ke Fasa Dua PPN, manakala Pulau Pinang mulai esok.
Bagi perkhidmatan cuci kenderaan sama ada secara manual, separa automatik dan automatik, KPKT berkata kerja pembersihan yang dibenarkan meliputi bahagian luaran kenderaan, enjin kereta, dalaman kereta, mengilatkan serta pengewapan antibakteria dan pembasmian serangga ruangan dalam kenderaan.
Manakala bagi pasar pagi dan pasar tani, ia dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 11 pagi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) meliputi bilangan pengunjung dan penjarakan minimum dua meter.
"Enam komoditi utama sahaja iaitu ikan, daging, ayam, telur, sayuran dan buah-buahan dibenarkan untuk dijual. Sementara pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka," katanya.
Orang ramai diminta merujuk laman sesawang rasmi KPKT di https://www.kpkt.gov.my bagi memuat turun SOP.
Keputusan membenarkan perkhidmatan tersebut beroperasi dicapai semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal COVID-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Jun lalu.
-- BERNAMA
#Fasa dua
#PPN
#PKP
#cuci kenderaan
#Pasar pagi
#pasar tani
#dibenar beroperasi
#KPKT
#MITI
#CIMS
#tidak perlu