Cubaan sorok dadah dalam kasut terbongkar

Aizat Sharif
Mac 26, 2013 16:18 MYT
Cubaan dua ‘keldai dadah’ antarabangsa menyeludup dadah terbongkar apabila polis menemui sejumlah dadah yang disorokan di sebuah ruangan ‘rahsia’ dalam sepasang sandal wanita dan kasut kulit.
Ruangan ‘rahsia’ yang terletak dibawah pelapik kasut itu diubah oleh sindiket dadah untuk memuatkan bungkusan dadah yang akan diseludup.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dua kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada Khamis dan Ahad lalu.
Dalam kejadian pertama pada jam 11 malam 21 Mac lalu, polis menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang baru sahaja tiba dari Doha.
“Melihatkan gerak gerinya mencurigakan, kita menahan suspek berumur 22 tahun itu dan tiada apa ditemui dari bagasinya namun apabila kita memintanya menanggalkan kasut kulit berwarna hitam yang dipakainya itu, kiita mendapati terdapat satu ruangan yang telah diubahsuai dalam kasut,” kata Noor Rashid dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.
Pemeriksaan selanjutnya berjaya menjumpai sebuah bungkusan kecil dipercayai dadah syabu seberat 850 gram yang disembunyikan dalam ruangan ‘rahsia’ itu.
Suspek dipercayai telah dua kali memasuki Malaysia untuk menyeludup dadah.
Manakala, dalam kejadian kedua pada 24 Mac jam 9.20 pagi, seorang wanita warga Indonesia dilihat polis begitu tergesa-gesa untuk meninggalkan kawasan lapangan terbang dan apabila diperiksa polis menjumpai dua bungkusan dadah syabu disorokan di ruangan pelapik sandal wanita yang dipakainya.
“Ruangan ‘rahsia’ itu yang letaknya antara tapak kasut dan ruangan pelapik itu telah diubahsuai untuk membolehkan bungkusan dadah itu diletakan begitu muat dan kemas.
“Dadah seberat 335 gram itu cuba diseludup keluar ke Indonesia. Malah, kita tidak menolak kemungkinan ianya turut akan diseludup ke China juga,” kata beliau.
Siasatan selanjutnya keatas suspek wanita Indonesia berumur awal lewat 20an itu membawa polis ke sebuah rumah di Alam Damai, Cheras dimana lima lelaki warga Nigeria dan Sierra Leone berumur antara 25 hingga 38 ditahan.
“Kita percaya suspek-suspek lelaki ini adalah pelajar kolej swasta dan menjadi dalang dalam sindiket ini dalam merekrut ‘keldai-keldai dadah’ antarabangsa untuk memasarkan dadah ke negara-negara lain,” kata Noor Rashid.
Anggaran dadah yang dirampas bernilai melebihi RM100,000 dan suspek kini ditahan unutk siasatan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.
#Dadah #Indonesia #kasut #narkotik #Pakistan #polis #Syabu
;