Cubaan seludup tong gas, dua lelaki ditahan
Radhi Muslim
Februari 21, 2019 23:19 MYT
Februari 21, 2019 23:19 MYT
Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki disyaki cuba menyeludup keluar sebanyak 10 biji tong gas petroleum cecair (LPG) dalam dua tangkapan berasingan di perairan Pelabuhan CIQ dan Pasar Besar Tawau, pada Khamis.
Dalam kejadian pertama pada jam 7 pagi, seorang lelaki berusia 37 tahun diberkas bersama enam biji LPG yang disimpan dalam sebuah van jenis Vanette di Pasar Besar Tawau.
Kemudiannya, pada jam 3 petang, seorang lelaki berusia 44 tahun pula dicekup bersama empat tong LPG yang disimpan sebuah bot di perairan Pelabuhan CIQ.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kedua-dua mereka adalah rakyat tempatan.
"Keduanya gagal mengemukakan dokumen pemilikan barangan terkawal tersebut selepas diperiksa.
"Kesemua barangan dirampas termasuk van dan bot yang dianggarkan berjumlah RM29,800," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mohamad Pajeri berkata, kes masih disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
#gas petroleum cecair
#LPG
#Pasar Besar Tawau
#Pasukan Polis Marin
#Pelabuhan CIQ
#tangkapan
#tong gas
#Vanette