Cubaan seludup keluar 700 kilogram daun ketum ke Thailand gagal
Adie Sufian Zulkefli
November 9, 2017 12:04 MYT
November 9, 2017 12:04 MYT
Cubaan seorang lelaki yang juga anggota Rela berusia 22 tahun menyeludup 700 kilogram daun ketum melalui laluan kebun getah untuk ke sempadan negara jiran, Thailand gagal apabila berjaya ditumpaskan pihak berkuasa.
Dalam kejadian sekitar 2.45 pagi tadi, suspek yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda diarahkan berhenti selepas terserempak dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melakukan operasi berhampiran Pos Sahara, Bukit Kayu Hitam.
Panglima 6 Briged, Briged Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, empat anggota ATM menahan kenderaan terbabit setelah ia didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Penahanan kemudiannya membawa kepada penemuan sejumlah 700 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai hampir RM70,000.
Abdul Aziz berkata, ini merupakan rampasan bersama suspek yang keenam sejak 30 Oktober lalu.
Kesemua rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
#anggota Rela
#Angkatan Tentera Malaysia
#ATM
#Bukit Kayu Hitam
#Dadah
#daun ketum
#operasi
#Thailand