Cubaan seludup arak sempena Tahun Baru Cina gagal
Adie Sufian Zulkefli
Januari 8, 2018 13:01 MYT
Januari 8, 2018 13:01 MYT
Cubaan dua lelaki tempatan menyeludup minuman keras gagal apabila mereka ditahan di Ayir Hitam, di sini pada malam Ahad.
Kejayaan menahan sekali gus merampas pelbagai jenis minuman keras tanpa cukai dipercayai untuk dijual sempena perayaan Tahun Baru Cina adalah hasil intipan dan tindakan mengekori dua buah kereta Perodua Myvi sejauh 40 kilometer dari Padang Besar, Perlis ke Air Hitam oleh Unit Risikan Agensi Kawalan Keselamatan Malaysia (AKSEM).
Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, ketika ditahan, kedua-dua lelaki berusia lewat 40-an itu membawa minuman keras itu melalui kawasan bebas cukai di Padang Besar tanpa menyedari pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan anggotanya mendapati kedua-dua lelaki itu yang bergerak secara konvoi dipercayai dalam perjalanan untuk membawa arak dan minuman keras itu ke pasaran luar di sekitar Alor Setar dengan nilai rampasan termasuk cukai RM98,785.
"Siasatan awal kita mendapati, bekalan minuman keras itu adalah bagi perayaan Tahun Baru Cina. Mungkin untuk kegunaan restoran di sekitar Alor Setar atau Sungai Petani.
"Manakala harga belum dibayar jadi harga bebas cukai jauh lebih murah," katanya kepada Astro AWANI di sini.
Tambah Abdul Latif hasil pemeriksaan kemudian menemui pelbagai jenis arak dan minuman keras yang ditutup dengan kain hitam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kedua-dua lelaki dan barangan rampasan kemudiannya dibawa balik ke Kompleks Pentadbiran AKSEM malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan dan belum lulus kastam.