Cubaan seludup 97,500 karton rokok bernilai RM15.4 juta gagal, 8 warga asing ditahan
Adie Sufian Zulkefli
Januari 13, 2022 12:13 MYT
Januari 13, 2022 12:13 MYT
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 97,500 karton rokok bernilai lebih RM15.4 juta melalui bot di perairan Kedah, pada Rabu.
Bot barter trade tersebut ditahan pada jarak 2.7 batu nautika di barat Tanjung Belua, di sini, pada jam 4 pagi Rabu.
Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, kejayaan tangkapan itu adalah hasil maklumat risikan dan intipan aktiviti jenayah penyeludupan di perairan Kedah, terutamanya di jalur sempadan perairan Malaysia-Thailand, serta kerjasama rapat dengan penguat kuasa negara jiran.
"Serbuan dilakukan susulan maklumat pergerakan suspek di perairan Malaysia.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot disyaki dari Thailand itu menemukan anggaran 1,950 kotak bungkusan mengandungi 19.5 juta batang rokok seludup pelbagai jenis yang disyaki cuba dibawa masuk ke negara ini," kata Mohd Zawawi.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan 39 guni berisi tembakau dengan nilai anggaran RM780,000.
Susulan penemuan itu, tekong bersama tujuh kru bot disyaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun ditahan.
Bot terbabit kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,417,500 merangkumi sebuah bot barter trade, rokok pelbagai jenis berjumlah 97,500 karton dan 39 guni tembakau.
Menurut Mohd Zawawi, modus operandi penyeludupan barang terlarang rentas sempadan ini dipercayai dibawa dari Thailand untuk dipasarkan ke pasaran tempatan menggunakan taktik pemalsuan ‘stamp duty paid’ pada kotak-kotak rokok berkenaan.
Tambahnya, aktiviti penyeludupan rokok dalam kapasiti besar seperti ini dipercayai didalangi sindiket antarabangsa yang turut melibatkan ejen-ejen darat dan laut dalam kalangan warga tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 49(1) dan 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana cuba membawa masuk rokok seludup ke Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa menggunakan pintu yang sah.