Cubaan seludup 300 kg ketum ke Thailand gagal, 5 lelaki tempatan ditahan
Adie Sufian Zulkefli
Februari 3, 2021 07:16 MYT
Februari 3, 2021 07:16 MYT
KUALA PERLIS: Lima lelaki warga tempatan ditahan ketika sedang memunggah plastik hitam berisi daun ketum di tembok sempadan Bukit Puteh, di sini, pada petang Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sepasukan polis dari unit risik Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Perlis sedang menjalankan rondaan di kawasan tersebut.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek sedang memunggah keluar muatan plastik hitam berisi daun ketum dari sebuah kereta Proton Persona.
Hasil pemeriksaan menemukan 30 bungkusan plastik hitam dengan anggaran berat 300 kilogram.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM80,000.
Kesemua suspek yang ditahan berusia 20 hingga 33 tahun.
Hasil siasatan, daun ketum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan darat tembok sempadan.
Ketum dan kenderaan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kangar untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
#plastik hitam
#daun ketum
#Bukit Puteh
#Pasukan Polis Marin
#PPM
#Rohizan Mohamad Saaid
#Akta Racun 1952