Cubaan ragut beg tangan, mangsa terseret lima meter

Vivi Sumanti
Mei 24, 2019 21:47 MYT
Mangsa yang terseret sejauh kira-kira 5 meter bersama kenderaan suspek yang sedang bergerak menceritakan apa yang terjadi kepada media. Foto PDRM
Seorang wanita cedera di bahagian kepala, kaki serta badan akibat terseret sejauh lima meter selepas nyaris diragut dalam satu kejadian berhampiran Pejabat Pos Wakaf Bharu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi itu, mangsa yang berusia 57 tahun dan berasal dari Taman Tanjong Chat, dekat sini, didekati satu kenderaan jenis Proton Waja selepas membeli belah di pasar Wakaf Bharu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa yang sedang berjalan kaki bersama suaminya tiba-tiba dihampiri Proton Waja berwarna perak tersebut dari arah hadapan.
"Seorang lelaki yang juga penumpang hadapan kenderaan itu, memakai penutup muka dan topi, mengeluarkan separuh badannya dari tingkap.
"Suspek dalam anggaran usia 20-an itu bertindak menarik beg tangan yang dipegang mangsa, namun ia tidak terlepas, menyebabkan mangsa terseret bersama kenderaan yang sedang bergerak itu sejauh kira-kira lima meter," katanya.
Ab Rashid berkata mangsa terus menjerit meminta tolong dan orang ramai yang berada di sekitar terus membantu suami isteri terbabit.
"Apabila melihat orang ramai mendekati lokasi, dua suspek termasuk pemandu kereta terus meninggalkan tempat kejadian tanpa sempat melarikan beg tangan yang ingin diragut," katanya.
Katanya, pihaknya kini sedang mengesan suspek menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa premis yang merakam kejadian itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan cubaan merompak," katanya.
#Ab Rashid Mat Daud #beg tangan #Beli belah #CCTV #cubaan merompak #kenderaan bergerak #Kota Bharu #mangsa #polis #ragut #seret #suspek #Wakaf Bharu
;