Cubaan pintas treler gagal, wanita maut dirempuh bas ekspres

Vivi Sumanti
Ogos 26, 2018 03:21 MYT
Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. - Foto Astro AWANI/Vivi Sumanti
Seorang wanita maut dan seorang lagi cedera apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan hari ini.
Manakala, 44 penumpang temasuk dua pemandu bas yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai semuanya dilaporkan selamat.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian kemalangan itu berlaku ada pukul 6.15 pagi tadi.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa, Nur Syazwani Mohd Hanapi, 26 tahun dari arah Kuala Krai ke Gua Musang gagal memotong sebuah treler sebelum merempuh sebuah bas dari arah bertentangan.
Kemalangan itu menyebabkan seorang lagi penumpang yang juga adik mangsa, Muhammad Syazwani, 25 tahun cedera ringan.
Sejurus kejadian bas ekpres terbabit yang cuba mengelak terhumban dan terbalik ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
Tambah, Mohd. Taufik, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Manakala, penumpang yang terselamat menaiki bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Jeli.
#bas #Gua Musang #kemalangan #Kuala Krai #mangsa #maut #meninggal dunia #Proton #treler