Cubaan pengganas Daish serang rumah ibadah, bunuh polis gagal

Astro Awani
Mac 24, 2018 19:14 MYT
Suspek telah membuat recce ke atas rumah-rumah ibadat yang hendak dijadikan sasaran - Foto PDRM
Polis menggagalkan cubaan serpihan kumpulan pengganas Daish yang berpangkalan di Johor dengan tertangkapnya enam suspek dalam operasi bersepadu antara 27 Februari hingga 15 Mac lalu.
Turut ditahan seorang orang kanan kumpulan militan Abu Sayyaf warga Filipina yang merancang untuk melancarkan serangan di Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, enam suspek yang ditahan di Johor itu merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam dan merancang untuk menculik serta membunuh anggota polis.
“Suspek pertama berusia 37 tahun, bekerja sebagai juruteknik syarikat swasta merupakan perancang utama dalam rancangan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam di Johor Bahru, Johor selain aktif merekrut anggota baharu dari kalangan rakyat tempatan manakala suspek kedua yang berusia 49 tahun berperanan sebagai penasihat bagi sel berkenaan.
“Suspek ketiga yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berperanan menguruskan pembelian senjata api dari sebuah negara jiran. Suspek telah membuat ‘recce’ ke atas rumah-rumah ibadat yang hendak dijadikan sasaran,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Berikutan itu polis telah melancarkan operasi susulan dan menahan tiga lagi anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai berperanan untuk menculik dan membunuh anggota polis serta pengantara jual beli senjata api.
Tambah Mohamad Fuzi, kesemua mereka merancang untuk melarikan diri ke negara jiran dan mendapat perlindungan daripada kumpulan pengganas negara berkenaan selepas berjaya melancarkan serangan.
Sementara itu dalam operasi yang dijalankan di Sabah, pihaknya menahan pakar peranti letupan berusia 31 tahun yang merancang melakukan serangan di negeri itu.
“Suspek adalah orang kanan kepada Furuji Indama (Ketua Abu Sayyaf di Basilan, Selatan Filipina) dan mempunyai hubungan dengan Dr Mahmud Ahmad (rakyat Malaysia yang telah menyertai kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina).
“Suspek juga disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Filipina kerana terlibat dalam kes penculikkan untuk wang tebusan dan beberapa siri cubaan membunuh,” katanya lagi.
Katanya sabah dijadikan sebagai tempat persembunyian bagi anggota pengganas dari Filipina.
Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
#Abu Sayyaf #Daesh #keselamatan #Ketua Polis Negara #operasi #pengganas #serangan #suspek
;