Cubaan jual gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk' dengan harga RM907,700
Astro Awani
Januari 29, 2020 19:52 MYT
Januari 29, 2020 19:52 MYT
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berjumlah RM907,700 bagi mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’.
Syed Abu Bakar Syed Alwi, 60, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.
Tertuduh didakwa telah menipu Low Leek Tjet, 43, dengan memperdayakan beliau untuk menawarkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ dari Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak yang sebenarnya tidak wujud.
Oleh itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat sebanyak RM907,700 yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tidak diperdaya oleh tertuduh.
Syed Abu Bakar dituduh melakukan perbuatan tersebut di Taman Sri Gombak di sini, antara 11 Okt 2017 dan 8 Jan 2019 dan didakwa mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM90,000 dengan seorang penjamin terhadap bapa tiga anak itu.
Tertuduh yang diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin merayu jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah.
Tertuduh juga menghidapi pelbagai penyakit, kencing manis, batuk kering dan pernah diserang angin ahmar sebanyak tiga kali.
Tertuduh tidak mempunyai wang bagi membayar jaminan cuma ada geran tanah untuk dicagarkan pada mahkamah.
Tertuduh juga memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap 1 haribulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 12 Feb bagi sebutan semula kes.