Cubaan curi kereta gagal, suspek ditahan pemilik selepas kereta terjatuh sungai

Adie Sufian Zulkefli
Julai 5, 2024 05:40 MYT
Suspek yang juga penganggur itu memiliki satu rekod jenayah dan dua rekod dadah. - Gambar hiasan
SUNGAI PETANI: Cubaan seorang lelaki mencuri sebuah kereta jenis Honda City gagal apabila ditahan pemilik kereta selepas kereta terjatuh ke dalam sungai di Taman Lurik Indah, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu suspek bersama seorang lagi rakan jenayahnya sedang menaiki motosikal ternampak sebuah kereta dalam kedaan enjin tidak dimatikan di hadapan sebuah rumah.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa lelaki berusia 27 tahun sedang menurunkan barang dari dalam kereta itu.
“Mangsa sedang menurunkan barang untuk dibawa masuk ke dalam rumah dan sebaik keluar mangsa mendapati kenderaan itu tiada.
"Dia kemudian mencari kereta berkenaan sebelum menemui kereta itu terjatuh ke dalam sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Suspek berusia 38 tahun kemudian itu ditahan pemilik kereta itu ketika hendak keluar dari kereta terbabit, dan menyerahkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, ketika itu tiada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) ditemui di tempat kejadian dan tiada saksi yang ternampak kejadian itu.
Beliau berkata, suspek ditangkap semula oleh anggota unit kereta peronda (MPV) polis daripada pengadu di tepi Jalan Songket Indah, di sini pada jam 4 petang.
"Kerugian kejadian itu dianggarkan RM70,000 dan suspek yang juga penganggur itu memiliki satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.
"Hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku bersama rakan sepenjenayah yang masih bebas mencuri kereta pengadu yang didapati enjin masih dihidupkan sewaktu mereka meronda dengan menaiki sebuah motosikal di kawasan taman berkenaan," katanya.
Wan Azharuddin berkata, bagaimanapun kereta terbabit dipercayai terbabas ke dalam sungai dan rakan suspek berjaya melarikan diri.
Beliau berkata, usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas diteruskan sehingga kini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
#curi kereta #Wan Azharuddin Wan Ismail #rekod jenayah #terjatuh sungai
;