Cubaan culik remaja perempuan dari laman rumah, 3 direman

Salim Aziz
September 22, 2019 12:50 MYT
Penahanan ketiga-tiga suspek dilakukan di Simpang Empat ketika mereka berada di dalam kereta, pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
Tiga lelaki direman empat hari sehingga Rabu ini, bagi membantu siasatan kes cubaan menculik seorang remaja perempuan 15 tahun di Kampung Tok Kandang, Kangar, pagi Sabtu.
Perintah tahanan reman dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.
Terdahulu, kesemua suspek yang berusia 24 hingga 58 tahun itu dibawa ke mahkamah pada jam 10 pagi, sebelum dibawa keluar kira-kira 45 minit kemudian.
Penahanan ketiga-tiga suspek dilakukan di Simpang Empat ketika mereka berada di dalam kereta, pada Sabtu.
Dalam kejadian 11 pagi Sabtu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, nyaris menjadi mangsa culik selepas dia didatangi dua lelaki sewaktu berseorangan di halaman rumahnya.
Tindakan suspek yang meluru ke arahnya, menyebabkan remaja itu ketakutan sebelum melarikan diri ke rumah jiran.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, bertindak di atas laporan remaja itu, polis mengesan dan menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan.
#culik #culik remaja #Kangar #kereta #lelaki #mahkamah #Mahkamah Majistret #mangsa #pelajar #Perlis #polis #remaja #rumah #siasatan #suspek
;