Cubaan culik disah palsu, murid reka cerita kerana terpengaruh video tular - Polis

Abd Razak Mohd Ali
September 27, 2022 17:22 MYT
Mohd Yusri berkata, siasatan mendapati murid berkenaan sengaja mereka cerita kerana terpengaruh dengan video tular kejadian culik yang berlaku di luar negara. - Foto BERNAMA
IPOH: Polis mengesahkan dakwaan kejadian cubaan culik seorang murid sekolah rendah berusia sembilan tahun di Taman Pinji Mewah, di sini, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, adalah palsu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati murid berkenaan sengaja mereka cerita kerana terpengaruh dengan video tular kejadian culik yang berlaku di luar negara.
Beliau berkata, terdahulu pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah menemu bual lima saksi, termasuk rakan murid berkenaan, pengawal keselamatan dan pemandu van.
"Kita dapati bahawa cerita ataupun laporan yang mengatakan kanak-kanak ini cuba diculik adalah tidak benar. Kanak-kanak ini telah mereka-reka cerita kepada ibunya.
"Dia melihat video kejadian-kejadian... video-video lama yang telah ditularkan dalam aplikasi media massa seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya... kes di luar negara, ada kanak-kanak ditangkap, kanak-kanak diculik dan juga jual organ.
"Jadi terpengaruh dengan benda itu, dia mereka cerita kepada ibunya dan ibunya telah membuat laporan polis. Kita telah panggil (siasat) untuk tahu apa tujuan dia berbuat demikian, dia kata nak tengok cara bagaimana polis ambil tindakan," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Selasa.
Beliau turut mengesahkan bahawa van putih yang didakwa digunakan penculik sebenarnya adalah kenderaan yang digunakan untuk membawa pekerja.
Pada Isnin, Mohd Yusri berkata, polis menubuhkan pasukan siasatan khas susulan kejadian itu yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Pada Ahad, seorang pengguna Facebook telah memuat naik hantaran di laman sosialnya mendakwa ada kejadian cubaan melarikan seorang murid sekolah rendah di Taman Pinji Mewah pada 23 September lalu.
Dalam hantaran berkenaan, lelaki itu yang dipercayai bapa murid berkenaan, mendakwa anak perempuannya hampir menjadi mangsa culik apabila didatangi seorang lelaki sebelum ‘dipelawa’ dengan gula-gula ketika berada di hadapan sekolahnya.
Dia mendakwa, anaknya telah ditarik oleh lelaki berkenaan sebelum kanak-kanak itu bergelut dan berjaya melepaskan diri selepas menggigit anggota badan lelaki tersebut.
Dia juga mendakwa individu itu sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah van putih yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi anaknya berada.
#cubaan culik #taman pinji mewah ipoh #pengaruh video tular #palsu
;