Cubaan ceroboh masuk guna 'laluan tikus', 49 PATI warga Myanmar ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Mei 14, 2022 20:13 MYT
Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- Foto ATM
BUKIT KAYU HITAM: Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan 49 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar ketika cuba memasuki negara ini melalui 'laluan tikus' di kawasan ladang getah di sempadan Malaysia-Thailand, hari ini.
Menurut satu kenyataan markas itu, kesemua PATI warga Myanmar itu ditahan anggota Briged Keenam Infantri Malaysia dalam kawasan Op Benteng pada jam 9.30 pagi.
“Ketika melakukan rondaan, anggota telah melihat sekumpulan PATI dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan kaki merentas sempadan negara.
“Anggota bertugas telah bertindak menahan kesemua 49 orang PATI terdiri daripada daripada 37 lelaki dan 12 perempuan.
“Kesemua ditahan berusia 15 hingga 48 tahun dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, turut dirampas 37 telefon bimbit, sejumlah wang tunai dalam matawang Malaysia, Thailand dan Myanmar dimana keseluruhannya bernilai RM15,878.
Kesemua PATI terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#pati #warga myanmar #Bukit Kayu Hitam #ATM
;