Cubaan cemar reputasi, SPRM nafi keluar kenyataan

Astro Awani
Jun 22, 2018 14:31 MYT
Ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama Mohd Shukri (gambar) untuk menyebarkan kenyataan palsu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan mengeluarkan satu kenyataan berhubung isu penyelewengan dan rasuah di Kelantan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya mendapati ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk menyebarkan kenyataan yang dimaksudkan.
"Tindakan itu dilihat sebagai ingin mencemarkan reputasi SPRM.
"Ingin ditegaskan bahawa SPRM komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM," kata Azam dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM.
#Azam Baki #cemar #Kelantan #kenyataan palsu #Malaysia #Mohd Shukri Abdull #operasi #penyelewengan #Rasuah #reputasi #SPRM
;