Cubaan buka nurseri di halaman rumah ternyata berbaloi

Bernama
September 5, 2021 10:30 MYT
Siti Nik Sahira berkata dia bersyukur dengan pendapatan yang diraih sekali gus memberi perangsang dan keyakinan kepadanya untuk terus maju ke hadapan. - Foto BERNAMA
PASIR PUTEH: Keputusan Siti Nik Shahira Abdullah, lepasan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Melaka menolak tawaran kerja bergaji tetap untuk membuka nurseri di halaman rumahnya ternyata berbaloi apabila produk pertanian yang dihasilkan semakin mendapat sambutan.
Siti Nik Sahira, 26, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pertanian UCAM berkata sebelum ini dia menjalani latihan praktikal dan bekerja secara sambilan di sebuah syarikat penanaman strawberi di Cameron Highlands, Pahang.
Bercakap kepada Bernama, Siti Nik Sahira berkata sebaik menamatkan latihan praktikal tersebut dia ditawarkan untuk terus bekerja dengan gaji tetap berjumlah RM3,000 sebulan, namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan dia pulang ke kampung halaman.
"Hampir setahun menganggur, kira-kira dua bulan lepas saya ambil keputusan guna pengalaman sepanjang bekerja dan menjalani latihan praktikal di Cameron Highlands untuk membuka nurseri menggunakan duit simpanan sebanyak RM500 di halaman rumah.
"Saya menghasilkan sendiri benih pokok tanaman jangka pendek seperti lada, terung, timun, pokok bunga serta baja pokok dan racun serangga. Sambutan daripada masyarakat sekeliling amat baik apabila hasil jualan dianggarkan kira-kira RM50 hingga RM100 sehari," katanya kepada pemberita di Kampung Merkang, di sini.
Bercerita lanjut, Siti Nik Sahira berkata dia bersyukur dengan pendapatan yang diraih sekali gus memberi perangsang dan keyakinan kepadanya untuk terus maju ke hadapan dalam industri pertanian yang sering dianggap sesetengah pihak satu pekerjaan kelas rendah.
"Lagipun di Jajahan Pasir Puteh belum ada siswazah menghasilkan sendiri benih pokok, baja serta racun rumpai kerana kebanyakan diimport dari negara jiran.
"Saya kini dalam proses mengumpul modal untuk memajukan kawasan tanah seluas 0.46 hektar milik bapa di Padang Pak Amat, kira-kira satu kilometer dari sini sebagai nurseri menggunakan sistem fertigasi," katanya mengakhiri bicara.
-- BERNAMA
#nurseri #Siti Nik Sahira #pokok tanaman #Cameron Highlands
;