Cubaan bawa masuk sarang burung dari Laos gagal

Bernama
Julai 24, 2024 11:50 MYT
Sarang burung seberat dua kilogram yang diletakkan dalam empat bungkusan itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia sekitar pukul 11.45 malam.
SEPANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas sarang burung bernilai RM8,000 yang cuba dibawa masuk ke dalam negara oleh seorang individu tanpa kebenaran, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 Khamis lepas.
Pengarah MAQIS Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata sarang burung seberat dua kilogram yang diletakkan dalam empat bungkusan itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia sekitar pukul 11.45 malam.
"Sarang burung tersebut disita oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai permit import MAQIS yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Perbuatan mengimport sarang burung tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) , Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011(Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Mohd Sobri berkata pihak MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.
-- BERNAMA
#sarang burung #maqis #KLIA #JKDM
;