Cubaan bawa masuk barang dilarang ke dalam lokap, 2 anggota polis ditahan

Nazialita Geynna Maharan
Julai 20, 2017 11:03 MYT
GAN: "Seorang pegawai kanan polis telah menerima maklumat tersebut dan bertindak menahan kedua-dua anggota polis itu."
Cubaan dua anggota polis yang dipercayai cuba membawa masuk barangan dilarang ke dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh gagal setelah mereka ditahan pada malam Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata kedua-dua mereka masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal ditahan sekitar jam 10 malam di perkarangan Balai Polis Sentral di sini.
"Seorang pegawai kanan polis telah menerima maklumat tersebut dan bertindak menahan kedua-dua anggota polis itu di mana hasil pemeriksaan telah menjumpai dua plastik sampah dalam kereta mereka.
"Antara barang yang ditemui adalah bateri, rokok, minuman botol, coklat,ubat gigi, kek, daun terup dan lain-lain barang," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya akam membuka Kertas Enkuari Polis (KEP) untuk menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
#anggota polis ditahan #Gan Tian Kee #Ipoh #jenayah #Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri #polis
;