Cubaan balik beraya di Kelantan gagal, lebih 100 kenderaan diarah patah balik

Muhafandi Muhamad
Mei 8, 2021 22:12 MYT
Bilangan kenderaan yang ingin masuk ke Kelantan di laluan berkenaan meningkat sejak jam 9 pagi tadi, namun kebanyakan mereka diberi kebenaran. - Gambar/ Astro AWANI
GUA MUSANG: Lebih 100 kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran ke Kelantan dipercayai untuk pulang beraya diarah berpatah balik di Gua Musang, sepanjang hari ini.
Semua mereka ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Kampung Tanah Putih Gua Musang, di sini, sehingga jam 6 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya mengarahkan mereka berpatah balik selepas gagal menunjukkan surat kebenaran merentas negeri.
Beliau dalam pada itu, menasihatkan perantau yang berada di luar Kelantan supaya tidak mencuba nasib merentas negeri untuk pulang beraya di kampung.
"Kita menasihatkan anak Kelantan yang berada di luar negeri supaya janganlah cuba nasib masuk balik ke Kelantan untuk sambutan hari raya tahun ni.
"Ini adalah menjadi tanggungjawab sosial kita yang berada di luar supaya bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 yang kian meningkat saban hari," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
BACA: Permohonan rentas negeri meningkat 100 peratus - KP Selangor
Balik Kampung | Tol Gombak sesak sejak awal pagi
Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI mendapati, bilangan kenderaan di laluan berkenaan meningkat sejak jam 9 pagi tadi, namun kebanyakan mereka dibenarkan masuk ke Kelantan kerana mempunyai kebenaran termasuk pasangan jarak jauh selain individu yang mempunyai urusan pekerjaan.
Terdahulu, media melaporkan laluan keluar masuk di ibu negara terutama di Plaza Tol Gombak mengalami kesesakan lalu lintas sejak pagi tadi akibat SJR susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor.
#Kelantan #cubaan balik beraya #Anak Kelantan #gagal #diarah berpatah balik #Gua Musang #polis #Plaza Tol Gombak
;