Cuba seludup 2,400kg ikan bilis ke Filipina, tekong bot ditahan

Bernama
Julai 27, 2024 15:02 MYT
Pasukan peronda telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Pulau Berhala. - Facebook / Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang tekong bot lelaki dan merampas 2,400 kilogram ikan bilis kering yang cuba diseludup keluar ke Taganak, Filipina melalui jalan laut di Pulau Berhala di sini pada Khamis lepas.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata pasukan peronda maritim yang bertugas dalam Op Pluto Timur, Op Tiris serta Op Khas Cegah Pati mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Pulau Berhala pada 9.40 pagi.
"Pemeriksaan ke atas bot yang didaftarkan menggunakan lesen perikanan itu menemukan 30 guni berisi ikan bilis kering dipercayai untuk diseludup ke Filipina. Berikutan itu, tekong bot yang merupakan pemegang kad pengenalan pemastautin tetap berusia 57 tahun ditahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata nilai rampasan termasuk ikan bilis dan bot berserta enjin sangkut dianggarkan lebih RM29,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup keluar ikan bilis serta kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.
Muhamad Suhairy berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau MERS 999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA
#seludup #ikan bilis #Filipina #Maritim Malaysia #APMM