Cuba selamatkan adik, tapi diri sendiri akhirnya mati lemas
Astro Awani
Januari 11, 2019 23:52 MYT
Januari 11, 2019 23:52 MYT
Seorang bekas pelajar Akademi Binaan Malaysia, Johor Bahru ditemui lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, hari ini (Jumaat, 11 Januari).
Mangsa, Mohamad Aisar Hisyam Mohd Kamal, 22 tahun, ditemui lemas ketika mandi bersama ahli keluarganya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan adik perempuannya yang berusia 21 tahun daripada lemas.
Mayat mangsa yang beralamat di Johor Bahru berjaya ditemui kira-kira jam 6.45 petang sekitar jarak 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd Yusof berkata sejurus menerima panggilan kira-kira jam 6 petang, seramai lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mangsa berjaya ditemui selepas operasi pencarian oleh pihak bomba dan orang awam yang mengambil masa kira-kira 20 minit.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa satu keluarga bersama empat adik-beradik dan keluarga sedang mandi, dan dipercayai adik kepada mangsa hampir lemas dan mangsa ingin menolong adiknya.
“Dalam masa yang sama kemungkinan akibat keletihan, dia sendiri telah tenggelam dan adik mangsa telah diselamatkan orang awam yang berada di tempat kejadian dan didapati pengsan. Anggota kita buat CPR untuk sedarkan mangsa,” katanya.
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Manakala adik mangsa Nur Aifaa Diyana turut menerima rawatan di hospital yang sama dan dilaporkan stabil.
#Air Terjun Belukar Bukit
#Akademi Binaan Malaysia
#Hulu Terengganu
#lemas
#Mohamad Aisar Hisyam Mohd Kamal
#Nur Aifaa Diyana