Cuba mohon sokongan Malaysia tarik sekatan ekonomi
Bernama
Ogos 31, 2015 09:08 MYT
Ogos 31, 2015 09:08 MYT
Cuba memohon sokongan Malaysia dalam usaha menarik balik sekatan perdagangan unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara republik di Amerika Utara itu.
Permintaan itu disampaikan oleh Pemangku Menteri Luarnya, Ana Teresita Gonzalez Fraga kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sewaktu kunjungan hormat Anifah ke negara republik itu Selasa lepas.
Anifah melakukan lawatan kerja tiga hari ke negara itu, bermula Isnin lepas.
Wisma Putra, dalam kenyataan malam ini, berkata Malaysia mengalu-alukan pemulihan hubungan diplomatik antara Washington-Havana selepas terputus selama 54 tahun dan ia akan menjadi pemangkin untuk pembangunan yang lebih pesat di Cuba.
Sementara itu, Cuba turut berminat untuk berkongsi pengalaman program transformasi yang berjaya dilaksanakan di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Cuba turut berharap untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan lain termasuk pelancongan selepas kejayaan kolaborasi dalam bidang bioteknologi dan pendidikan.
Cuba pada masa ini menawarkan kursus perubatan kepada pelajar Malaysia manakala Malaysia menawarkan pelbagai kursus jangka pendek di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar bagi penjawat awam dan diplomat dari republik itu.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu untuk manfaat bersama dan yakin terhadap potensi ekonomi dan perdagangan di republik berkenaan.
"Terutamanya setelah pelaksanaan pelbagai reformasi ekonomi sejak akhir tahun 2011. Malaysia berharap reformasi tersebut akan menggalakkan perniagaan dan pelaburan asing di Cuba termasuk dari Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Fraga menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk menyertai acara tahunan Pameran Perdagangan Antarabangsa Havana.
Pelaksanaan Undang-Undang Pelaburan Cuba baru-baru ini turut dijangka menarik minat syarikat-syarikat Malaysia untuk berdagang.